Jumaat, 3 April 2015

Konsep insan dalam al-Quran



Sumber


Berbicara mengenai insan bererti kita sedang berbicara mengenai diri kita sendiri sebagai makhluk yang paling unik di muka bumi ini.  Manusia ataupun di dalam Bahasa Arab dikenali sebagai insan merupakan makhluk sebaik-baik kejadian yang dicipta Allah SWT berbanding dengan yang lain seperti malaikat, haiwan dan tumbuhan kerana dikurniakan akal, roh dan jasad (Rahimi Md Saad & Abdul Muhsien Sulaiman, 2010). Darjat insan juga diangkat lebih tinggi daripada haiwan dan tumbuhan. Islam memandang insan sebagai hamba kepada Pencipta dan bukannya terbit daripada evolusi alam. Di dalam kitab suci al-Quran, Allah SWT menggunakan tujuh istilah yang menerangkan konsep insan iaitu al- basyar, al-insan, al-nas, bani Adam, al-ins, abd Allah, khalifah Allah (Abdul Wahid Thahir, t.t.) .

Perkataan al-basyar disebut 36 kali dalam bentuk mufrad (tunggal) dan hanya sekali di sebut dalam bentuk muthanna (berdua) atau jamak (banyak). Maksud al-basyar adalah manusia keturunan nabi Adam AS yang merupakan makhluk fizik yang suka makan dan minum. Sebagai makhluk fizik, insan tidak jauh berbeza dengan makhluk biologi yang lain. Kehidapan insan terikat dengan kaedah prinsip kehidupan seperti berkembang membiak.  Di dalam al-Quran, Allah telah menceritakan tentang proses dan fasa perkembangan insan sebagai makhluk biologi di dalam surah al-Mukminun ayat 12-14 dan pada ayat ke 15 dan 16 menjelaskan bahawa insan juga akan mati dan dibangkitkan kembali pada hari kiamat.


Terjemahan ayat:

" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih (zigot)  pada tempat penetapan yang kukuh (rahim). Kemudian Kami ciptakan air benih itu itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balutkan tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah , sebaik-baik Pencipta. Kemudian, sesungguhnya kamu setelah itu akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari qiamat.

(Al-mukminun, 23 : 12-16)


Menurut Quraish Shibab, insan dinamai al-basyar kerana kulitnya tampak jelas dan berbeza dengan kulit haiwan yang lain. Insan dikatakan makhluk fizik dalam konsep al-basyar kerana insan akan berubah dari menjadi seorang bayi, kanak-kanak, remaja, belia seterusnya menjadi tua dan lemah dan akhirnya meninggal dunia mengikut peredaran. Sebagai makhluk biologi, insan berupaya memenuhi tuntutan Penciptanya yakni dalam memenuhi melakukan ibadah dan menjalankan fungsi mengguna, membesar, belajar, bekerja, berkeluarga dan lain-lain.


Al-insan bermaksud melihat, mengetahui dan meminta izin (Abdul Wahid Thahir, t.t.). Istilah ini menunjukkan bahawa insan memiliki kemampuan untuk memerhati dan berfikir berbandng dengan makhluk lain. Insan mampu untuk mengambil iktibar daripada apa yang dilihat, mengetahui yang benar dan salah serta dapat meminta izin untuk menggunakan sesuatu yang bukan miliknya. Insan  merupakan mahkluk yang dapat didik, memiliki potensi yang dapat digunakan untuk mengembangkan ilmunya. Insan menurut konsep ini dapat berpotensi untuk menjadi kreatif dan inovasi

Al-nas memberi fungsi kepada insan sebagai makhluk sosisal yang tidak dapat hidup dengan dirinya sendiri. Al-nas juga dikenali sebagai makhluk yang pelupa. Oleh itu, insan harus menjaga hubungan baik sesama mereka. Dari awal penciptaan manusia, nabi Adam AS dipasangkan dengan Hawa AS menunjukkan insan harus bersaudara dan saling membantu. Secara sederhana, Allah SWT telah menegaskan fungsi manusia dalam konsep al-nas adalah untuk hidup bersaudara dan tidak berkelahi.


Insan secara keseluruhan digelar sebagai Bani Adam kerana berasal daripada keturunan nabi Adam AS. Sebayak tujuh kali istilah Bani Adam disebut didalam al-Quran. Terdapat tiga aspek yang merujuk kepada konsep Bani Adam menurut Thabathaba'i dalam Samsul Nizar. Pertama adalah anjuran untuk berbudaya sesuai dengan ketentuan Allah seperti berpakaian menutup aurat. Kedua, mengingatkan kepada keturunan Adam agar tidak terjerumus kepada kemungkaran. Ketiga, memanafaatkan segala isi bumi dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Insan juga dikenali sebagai al-ins. Al-ins bermaksud tidak liar atau tidak biadap. Al-ins disebut sebanyak 18 kali di dalam al-Quran. Quraish Shabab mengatakan bahawa al-ins berbeza dengan makhluk al-jin kerana al-ins dapat dilihat oleh pancaindera manakala al-jin tidak dapat dilihat oleh pancaindera.


Tidak Allah SWT ciptakan insan di dunia kecuali untuk beribadah kepada-Nya. Dalam surah al-Zariyat ayat 56, Allah berfirman tentang antara  sebab kenapa insan dicipta iaitu untuk mengesakan-Nya.


Ibadah merupakan asas penting dalam kehidupan insan kerana ia sebenarnya menjadi kayu ukur untuk menilai insan. Oleh yang demikian, insan juga disebut sebagai abd Allah iaitu hamba Allah.

Insan juga dikatakan sebagai khalifah Allah SWT. Insan sebagai khalifah Allah SWT telah dibincangkan dalam entri sebelum ini. Insan telah dicipta oleh Allah SWT sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 30. Maksud khalifah adalah pengurus yang dapat mengurus serta memakmurkan apa yang ada di muka bumi termasuk tumbuh-tumbuhan, lautan mahupun haiwan. Insan wajib memanfaatkan segala apa yang ada di atas bumi dalam menjalankan tugasnya sebagai pengurus untuk mendapatkan kehidupan dengan lebih baik. Allah SWT menganugerahkan kepadainsan akal serta pancaindera sebagai alat dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.Insan wajib mengguna akal serta pancaindera untuk meneliti dan berfikir semasa menjalankan tanggungjawabnya sebagai khalifah.


Kesimpulannya, terdapat tujuh istilah yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran mengenai konsep insan. Jika konsep-konsep ini dapat dilaksanakan baik oleh insan terutamanya dalam pengurusan, fungsi insan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa membawa kemurkaan kepada Allah. Sewajibnya, sebagai makhluk ciptaan Allah, insan patut sedar tentang kelebihan serta kelemahan masing-masing untuk mendapat redha Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan