Sabtu, 14 Mac 2015

Pengurusan dari perspektif Islam


Islam adalah ad-Din ataupun cara hidup yang memegang tradisi dan budaya yang tersendiri. Islam datang dalam keadaan sejahtera untuk memakmurkan makhluk di bumi termasuklah manusia, haiwan dan alam. Perkara yang membezakan Islam daripada agama lain adalah dari segi ideologi dan kefahamannya. Salah satu aspek kehidupan yang ditetapkan dalam Islam adalah pengendalian sesuatu organisasi mengikut sistem yang tersendiri seperti yang telah digariskan oleh Allah SWT. Sistem pengurusan Islam bukan dicipta oleh akal manusia sebaliknya merupakan wahyu Allah SWT. Seseorang yang beragama Islam, sama ada menjadi pengurus atau pekerja, mereka wajib mempraktiskan cara hidup yang syumul berpandukan sumber Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Definisi pengurusan dari perspektif Islam yang telah dikemukakan oleh Mohd Affandi Hassan (1992: 56) melihat pengurusan ini adalah satu bentuk pemenuhan amanah keinsanan di antara Tuhan dengan manusia. Manusia selaku hamba dan juga khalifah-Nya wajib melaksanakan amal kebaikan berasaskan prinsip kerjasama dan syuradalma aktiviti pengurusan. Matlamat pengurusan adalah untuk membangunkan tamadun yang berasaskan nilai- nilai etka tauhidik dan harus memastikan pengurusan tersebut bersih daripada korupsi, sifat-sifat tercela dan ketidakadilan sama ada di dalam organisasi mahupun masyarakat demi mencapai matlamat yang lebih utama iaitu, al-falah.


Al-Quran menjelaskan tentang segala sesuatu  perkara yang zahir mahupun tersembunyi, sama ada dalam pemerhatian manusia atau luar pemerhatian manusia. Sebelum membincangkan tentang lebih mendalam mengenai pengurusan dari perspektif Islam, ada baiknya kita berbincang tentang pelaku kepada pengurusan ini iaitu tidak lain dan tidak bukan, manusia.



" dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi..." [al-Baqarah, 2:30]


Manusia telah dicipta oleh Allah SWT sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 30. Maksud khalifah adalah pengurus yang dapat mengurus serta memakmurkan apa yang ada di muka bumi termasuk tumbuh-tumbuhan, lautan mahupun haiwan. Manusia wajib memanfaatkan segala apa yang ada di atas bumi dalam menjalankan tugasnya sebagai pengurus untuk mendapatkan kehidupan dengan lebih baik. Allah SWT menganugerahkan kepada manusia akal serta pancaindera sebagai alat dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. Manusia wajib mengguna akal serta pancaindera untuk meneliti dan berfikir semasa menjalankan tanggungjawabnya sebagai khalifah.

Asas ilmu pengurusan menurut Islam adalah bertunjangkan akidah islamiah iaitu, tauhid.Tauhid itu adalah  mengesakan Allah SWT dengan mengakui dan meyakini bahawa tiada Pencipta selain  Allah SWT dan melakukan segala suruhan-Nya seperti solat, puasa, keluarkan zakat dan lain-lain serta meninggalkan segala yang dilarang oleh-Nya seperti mensyirikkan Allah SWT, merosakkan muka bumi dan lain-lain. Dengan mengesakan Allah SWT, manusia juga diamanahkan oleh Allah unutk menunaikan ibadah kepada-Nya. Meletakkan tauhid sebagai asas ilmu pengurusan menurut Islam adalah tepat kerana selain daripada menghormati tanggungjawab manusia sebagai pengurus muka bumi seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30, manusia juga turut dapat menunaikan tanggungjawabnya dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT.


Firman-Nya yang bermaksud:


“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan Manusia melaikan untuk beribadah kepadaku”.
 [Al- Dzariyat, 51: 56]

Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 155 yang bermaksud:


“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu (menyangka) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” 
[Al-Mukminun ,23 : 115 ]



Selepas meneliti perbincangan di atas, kita dapat melihat kaitan di antara pengurusan dan manusia memang tidak dapat berpisah. Al- Quran awal-awal lagi menjelaskan tentang hakikat fungsi manusia sebagai pengurus muka bumi di samping menjadi hamba Allah SWT. Sesungguhnya al-Quran itu adalah panduan hidup.

Tokoh-tokoh  barat berpandangan bahawa fungsi manusia adalah sebagai makhluk ekonomi seperti mana yang telah dibincangkan dalam entri 'Apa itu Pengurusan? ' adalah tidak tepat kerana menyalahi hukum alam. Oleh yang demikian,  perkara pertama atau asas dalam pengurusan perlu  diubah dengan mengembalikan fungsi asal manusia iaitu sebagai hamba Allah SWT. Manusia yang dijadikan oleh Allah SWT tidak berfungsi untuk menjadi makhluk ekonomi ataupun mesin secara total tapi sebaliknya akal dan pancaindera yang ada pada manusia hanya sekadar alat untuk mencapai kemakmuran di atas muka bumi.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan