Ahad, 26 April 2015

Analisis manusia dalam Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam


Dalam buku 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam yang dikarang oleh Proffesor Dr.Muhammad Syukri Salleh (2003) menyebut tentang prinsip-prinsip yang sepatutnya dipakai oleh pembangunan yang berteraskan kepada Islam terutamanya dalam institusi yang bertunjangkan kepada falsafah yang  berteraskan Islam. Beliau percaya, perkara yang berkaitan dengan umat Islam terutamanya dalam pembangunan harus diurus mengikut syariat Islam. 

Terdapat tujuh prinsip utama yang disebut dalam buku tersebut. Prinsip yang pertama adalah tasawur Islam sebagai acuan pembangunan. Kedua, manusia sebagai pelaku pembangunan. Prinsip ketiga pula, alam roh, alam dunia dan alam akhirat sebagai skala waktu pembangunan manakala keempat, ilmu fardhu 'ain sebagai kerangka pembangunan. Kelima, ibadah sebagai perkaedahan pembangunan. Keenam sumber alam sebagai peralatan pembangunan dan prinsip yang ketujuh adalah mardhatillah ataupun mencapai redha Allah SWT adalah matlamat pembangunan.

 Tasawur Islam terbentuk hasil daripada epistemologi ilmu Islam itu sendiri yang berasaskan kepada  al-Quran, al-Sunnah, Ijmak ulama dan qias ulama.  Umat Islam mengenali agama Islam dengan ilmu yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menegaskan tentang tiga perkara utama, iaitu Allah SWT adalah Pencipta; manusia adalah makhluk dan sumber alam juga adalah makhluk yang tunduk kepada Allah SWT. 

Apabila manusia memahami tentang tiga perkara, manusia dapat membina pembangunan berteraskan Islam yang tulen mengikut acuan epistemologi dan tasawur Islam. Sumber epistemologi Islam membentuk ilmu fardhu 'ain yang bersangkut paut dengan kewajipan individu seperti hal-hal ketuhanan (ilmu tauhid), hal-hal peraturan hidup (ilmu feqah) sama ada dalam melakukan ibadah, mualamah (pergaulan),munakahat (perkahwinan) dan jinayah (pencerobohan) dan hal-hal berkaitan dengan penyucian jiwa (tasauf). Ilmu fardhu kifayah pula merangkumi aspek yang lebih luas yang melibatkan kehidupan masyarakat seperti perundangan, kedoktoran, politik, ekomoni, pembangunan, sosial dan lain-lain untuk memenuhi keperluan kemasyarakatan seperti pengurusan jenazah, pengajaran dan pengajian ilmu. Biarpun pembangunan secara umumnya berada dalam ilmu fadhu kifayah, namun tunjangnya adalah berasaskan kepada ilmu fardhu ain yang menjadi kerangka pembangunan . 

Manusia memainkan peranan yang besar dalam menggerakkan pembangunan berteraskan Islam.  Pembangunan Berteraskan Islam melihat manusia sebagai manusia yang cukup satu manusia, iaitu meliputi fizikal dan spiritualnya sedangkan pembangunan lazim hanya melihat manusia dari aspek fizikal semata-mata (Mayor melihat manusia sebagai mesin ataupun aset , manakala Henry Foyal mengatakan manusia adalah hamba ekonomi).

Apabila mengatakan manusia adalah manusia yang cukup sebagai satu manusia, hal spiritual manusia juga adalah penting untuk dinilai. Menurut Islam, ketetapan fungsi manusia adalah lebih khusus daripada menjalankan fungsi yang streotaip dan sirkularistik seperti mengguna, membesar,belajar, bekerja, berkeluarga, reproduktif dan meninggal dunia. Ketetapan  fungsi manusia telah ditetapkan sewaktu alam roh lagi. Alam roh adalah alam sebelum manusia dilahirkan ke dunia. Dalam bentuk roh ini, fungsi pertama manusia ditetapkan, dan manusia telah mengakui bahawa Allah SWT adalah Tuhan dan manusia adalah hamba.


Sebagai "blueprint" perjanjian manusia dengan Allah SWT sewaktu di alam roh. (surah al-'Araff:172)


Sebagai pelaku pembangunan, di sinilah peranan manusia sebagai hamba dan khalifah diuji. Dalam menghadapi kehidupan di dunia, manusia dikurniakan rohul-tamayyiz yang mana apabila manusia berfikir, ia dikenali sebagai akal, apabila berperasaan dipanggil qalbu dan apabila berkeinginan dan berkehendak dikenali sebagai nafsu. Nafsu manusia dapat dikawal apabila tahap iman seseorang itu berada di tahap nafsu mutmainnah dan ke atas daripada terlibat dengan perbuatan-perbuatan mazmumah untuk menjadi hamba Allah SWT . 

Iman seseorang dapat dipertingkatkan dengan melakukan ibadah-ibadah asas yang didasari oleh rukun Islam dan rukun iman, amalan-amalan utama seperti berwirid, berzikir, bertasbih dan  melakukan perkara-perkara sunat yang digalakkan dalam Islam. Apabila manusia melakukan perkara-perkara tersebut, hubungan mereka dengan Allah SWT dapat diperkemaskan dan pembangunan spiritual mereka bertambah kuat. Apabila ibadah-ibadah asas menjadi darah daging, maka ibadah umum yang bersifat fardhu kifayah seperti perundangan, kedoktoran, politik, ekomoni, pembanguan, sosial dan lain-lain dapat dijalankan dengan lebih baik dan sebagai natijah, tertegaklah pembangunan material. Gabungan ibadah asas dan ibadah umum membawa kepada keseimbangan pembangunan rohani manusia dan  pembangunan material.

Dalam pembangunan tamadun, tidak dapat dinafikan sumber alam adalah perkara penting untuk memastikan kelangsungan kehidupan manusia di dunia. Apabila berbincang mengenai sumber alam, skopnya meliputi hasil bumi seperti kayu-kayan,emas, besi logam, minyak, gas dan sebagainya yang menjadi peralatan-peralatan pembangunan yang cukup penting. Namun, dalam pembangunan berteraskan Islam melihat sumber alam ini adalah milik mutlak Allah SWT melalui surah al-Syura ayat 12.


 Keterbatasan sumber alam tidak menjadi masalah utama jika manusia memahami kalam Allah SWT kerana dalam Islam, sumber alam menjadi perkara yang tidak terhad dengan empat faktor ini iaitu, memahami konsep rezeki, kaedah pengagihan semula sumber melalui zakat untuk menyucikan harta, konsep baraqah yang melahirkan sifat qanaah dalam jiwa manusia dan kaedah penggunaan sumber alam.

Apabila prinsip-prinsip ini dilaksanakan oleh manusia, maka matlamat akhir dapat dicapai iaitu memperolehi keredhaan Allah SWT. Apa yang penting bagi manusia di dunia ini adalah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang telah dijanjikannya dengan Allah sewaktu alam roh. Alam kehidupun menjadi tempat manusia mengotakan janji. Jika janji tersebut dapat dipenuhi dengan redha Allah SWT, maka Allah juga menjanjikan balasan yang baik kepada hambaNya di akhirat kelak iaitu syurga, tempat yang abadi.


Seperti yang dibincangkan, didapati, manusia adalah merupakan entiti paling penting dalam menggerakkan pembangunan berteraskan Islam yang meliputi hubungan dengan Penciptanya Yakni Allah SWT dan hubungan sesama makhluk iaitu manusia dan alam.

Jumaat, 17 April 2015

Teori Perilaku: Teori X dan Teori Y mengikut pandangan Islam


Teori perilaku: teori  X dan teori Y adalah hasil cetusan idea Douglas McGregor (1006-1964) iaitu seorang profesor dalam bidang pengurusan lazim. Mengikut Douglas McGrogor (1960) dalam bukunya" The Human Side Enterprise" terdapat dua jenis karekteria manusia dalam pengurusan iaitu mengikut pengelasan teori X dan teori Y.

Teori X mengelaskan bahawa pada dasarnya manusia adalah makhluk yang cenderung untuk memiliki sifat malas dan tidak suka bekerja. Manusia dalam kelas teori X lebih suka mengelak daripada melakukan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Namun begitu, mereka menginginkan jaminan hidup yang tinggi. Mereka perlu diawasi, diancam serta diberi arahan agar dapat menjalankan tangggungjawab yang diberikan. Teori X berpandangan bahawa mereka dalam kelas ini lebih senang untuk menerima arahan daripada mengarah dan memerlukan jaminan keamanan keatas mereka. 

Manakala mengikut teori Y pula, pekerjaan dan tanggungjawab merupakan tugas untuk diselesaikan. Mereka dalam kelas teori Y mampu bekerja tanpa pengawasan yang ketat kerana mereka dapat menyesuaikan diri dalam setiap tanggungjawab yang diberikan. Mereka juga memiliki kelebihan dalam melakukan kerja dengan kreatif dan memahami tugas dan tanggungajawab  untuk mencapai matlamat.

Walaubagai manapun, agama Islam melihat manusia dari persepsi yang tersendiri. Dalam entri sebelum ini, perbincangan tentang konsep insan mengikut pandangan Islam telah dibincangkan. terdapat sekurang-kurangnya tujuh konsep manusia yang dibincangkan alam entri tersebut.

Allah telah menciptakan manusia dalam keadaan fitrah, namun pengaruh persekitaran memainkan peranan penting dalam mencorak fitrah manusia. Manusia tidak dapat mengelak daripada menerima pengaruh persekitaran. Pengaruh persekitaran ini memberi kesan terhadap sikap dan pemikiran manusia. Biasanya terdapat dua pilihan yang diberikan kepada manusia. Pilihan yang tepat adalah berdasarkan nilai yang serasi. Jika nilai diri manusia berdasarkan akal dan nafsu sahaja, nilai yang diperolehi tidak menepati sasaran yang sebenar.

Nilai yang relatif ditentukan oleh manusia dan bukannya bukan ditentukan oleh Pencipta. Allah menentukan asas nilai yang mutlak dan ia tidak akan berubah dan diguna pakai dalam apa zaman dan keadaan pun. Contohnya, nilai haram (nilai mutlak) terhadap zina, arak dan judi dan lain-lain tidak tertakluk dengan faktor masa dan ruang, tetapi nilai yang relatif seperti jujur dan ikhlas tetap dianggap baik pada sepanjang masa dan zaman.

Oleh yang demikian, fitrah manusia adalah sama, namun persekitaran yang mencorakkan sikap dan pemikiran untuk menjadi manusia yang berkenderungan untuk melakukan perkara yang diingini. Teori perilaku: Teori X dan Teori Y menganggap manusia lahir hanya dalam dua kumpulan ini adalah sama sekali lemah kerana pemikirannya sangat terhad. Jika teori ini benar, maka secara kesimpulannya, manusia yang berada dalam pengelasan teori Y sahajalah yang akan mencapai matlamat manakala manusia dalam pengelasan teori X akan berada di dalam lingkungan yang sama dan akan menjadi mangsa penindasan manusia dalam pengelasan teori Y.

Penilaian terhadap manusia berasaskan Teori perilaku: Teori X dan Teori Y ini adalah sangat lemah kerana jika dibandingkan dengan makhluk yang lain seperti malaikat, haiwan, tumbuhan dan lain-lain kerana manusia dikurniakan akal untuk berfikir perkara yang baik dan perkara yang buruk. Oleh yang demikian, Teori perilaku: Teori X dan Teori Y ini tidak sesuai dilaksanakan mengikut pandangan Islam kerana tidak selari dengan fitrah manusia yang asalnya mempunyai banyak  berkecenderungan disebabkan potensi yang dimilikinya (Ahmad tafsir, 2005).

Sabtu, 11 April 2015

Tasawur insaniah


Sumber

Manusia ataupun dalam Bahasa Arab dikenali sebagai insan; disebut sebanyak 65 kali dan jamaknya, al-nas disebut sebanyak 258 kali di dalam al-Qur’ān. Insan adalah makhluk yang dikurniakan akal, roh dan jasad, merupakan sebaik-baik kejadian jika dibandingkan dengan malaikat mahupun haiwan.

Insan dibekalkan kepada mereka fitrah semula jadi yang cenderung untuk melakukan kerosakan di atas muka bumi. Insan juga dikurniakan akal dan melalui akal, mereka diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk memahami hakikat kebenaran. 

Walau bagaimana pun, peribadi mereka juga mempunyai potensi untuk bertarung sama ada memperolehi sifat baik dan jahat sebagai memenuhi matlamat mereka di dunia bergantung kepada cara mereka berfikir dan bertindak . Cara insan berfikir adalah lahir daripada akal dan hati. Maklumat yang dihasil oleh akal dan hati adalah perkara yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ianya hanya dapat difahami oleh insan itu sendiri. Maka, hubungan antara akal dan hati ini adalah sebagai penyebab di atas segala tindakan insan. Insaniah dapat digambarkan melalui proses pemikiran insan (dalaman) serta tindakannya (luaran).

Menurut Fadhlullah Jamil, insaniah adalah berperikemanusiaan iaitu memiliki nilai kemanusiaan. Apabila seseorang dikatakan berperikemanusiaan, maka sewajarnya individu tersebut memiliki sikap belas kasihan sesama makhluk, bertimbang rasa, mengenang budi, pemaaf, sabar dalam menghadapi ujian, beramanah, adil dan sedar akan tanggungjawabnya dan lain-lain. Secara ringkasnya, seseorang yang berperikemanusaan akan bertindak mengikut lunas-lunas akhlak yang mulia dan tidak tunduk kepada hawa nafsu. 

Apabila berbincang soal tasawur terhadap insan, kefahaman quranik perlu wujud supaya tidak berlaku kehilangan arah dalam membincangkan isu ini. Fitrah insan dicipta lengkap dengan pakej kelemahan dan kekurangan lain seperti mana terjemahan daripada surah al-Ma’arij ayat 19, 20 dan 21 bermaksud: 



 “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (kedekut). Apabila ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila beroleh kesenangan, ia sangat bakhil dan kedekut” 
(Al-Ma’arij, 70: 19- 21).  



Pandangan al-Attas mengenai konsep insan merumuskan bahawa jiwa insan dikategorikan kepada dua bahagian; yang pertama adalah jiwa rasional bagi insan yang menggunakan akal dan yang kedua pula adalah jiwa kebinatangan bagi insan yang membelakangi akal. Jika dilihat dari aspek ilmu mantik, insan juga diistilahkan kepada haiwan yang berkeupayaan untuk berkata-kata dan mempunyai keupayaan daya berfikir “al-insan hayawan al-Natiq”

Oleh yang demikian, insan berpotensi untuk menjadi individu yang baik dan individu yang batil. Al-Qaradawi berpandangan konsep dan tasawur tentang insan yang paling tepat adalah berdasarkan penjelasan Pencipta insan iaitu Allah SWT yang Maha Mencipta lagi Maha Mengetahui akan ciptaan-Nya. Allah SWT selaku Pencipta sudah pasti kenal sifat, ciri, kekuatan dan kelemahan makhluknya.

Oleh yang demikian, perkara yang perlu dititik berat apabila berbicara mengenai insan dalam pengurusan insaniah adalah dengan mengenali hakikat serta sifat insan dan insaniah itu sendiri agar fungsi insan tidak disalah gunakan. Dalam pengurusan insaniah, adalah lebih tepat jika gabungan akal, jasad dan tuntutan rohani insan dapat diaktifkan bersama. Akal untuk berfikir, jasad untuk bekerja dan tuntutan rohani untuk mengawal jiwa kebinatangan.


Jumaat, 3 April 2015

Konsep insan dalam al-Quran



Sumber


Berbicara mengenai insan bererti kita sedang berbicara mengenai diri kita sendiri sebagai makhluk yang paling unik di muka bumi ini.  Manusia ataupun di dalam Bahasa Arab dikenali sebagai insan merupakan makhluk sebaik-baik kejadian yang dicipta Allah SWT berbanding dengan yang lain seperti malaikat, haiwan dan tumbuhan kerana dikurniakan akal, roh dan jasad (Rahimi Md Saad & Abdul Muhsien Sulaiman, 2010). Darjat insan juga diangkat lebih tinggi daripada haiwan dan tumbuhan. Islam memandang insan sebagai hamba kepada Pencipta dan bukannya terbit daripada evolusi alam. Di dalam kitab suci al-Quran, Allah SWT menggunakan tujuh istilah yang menerangkan konsep insan iaitu al- basyar, al-insan, al-nas, bani Adam, al-ins, abd Allah, khalifah Allah (Abdul Wahid Thahir, t.t.) .

Perkataan al-basyar disebut 36 kali dalam bentuk mufrad (tunggal) dan hanya sekali di sebut dalam bentuk muthanna (berdua) atau jamak (banyak). Maksud al-basyar adalah manusia keturunan nabi Adam AS yang merupakan makhluk fizik yang suka makan dan minum. Sebagai makhluk fizik, insan tidak jauh berbeza dengan makhluk biologi yang lain. Kehidapan insan terikat dengan kaedah prinsip kehidupan seperti berkembang membiak.  Di dalam al-Quran, Allah telah menceritakan tentang proses dan fasa perkembangan insan sebagai makhluk biologi di dalam surah al-Mukminun ayat 12-14 dan pada ayat ke 15 dan 16 menjelaskan bahawa insan juga akan mati dan dibangkitkan kembali pada hari kiamat.


Terjemahan ayat:

" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih (zigot)  pada tempat penetapan yang kukuh (rahim). Kemudian Kami ciptakan air benih itu itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balutkan tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah , sebaik-baik Pencipta. Kemudian, sesungguhnya kamu setelah itu akan mati. Kemudian, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari qiamat.

(Al-mukminun, 23 : 12-16)


Menurut Quraish Shibab, insan dinamai al-basyar kerana kulitnya tampak jelas dan berbeza dengan kulit haiwan yang lain. Insan dikatakan makhluk fizik dalam konsep al-basyar kerana insan akan berubah dari menjadi seorang bayi, kanak-kanak, remaja, belia seterusnya menjadi tua dan lemah dan akhirnya meninggal dunia mengikut peredaran. Sebagai makhluk biologi, insan berupaya memenuhi tuntutan Penciptanya yakni dalam memenuhi melakukan ibadah dan menjalankan fungsi mengguna, membesar, belajar, bekerja, berkeluarga dan lain-lain.


Al-insan bermaksud melihat, mengetahui dan meminta izin (Abdul Wahid Thahir, t.t.). Istilah ini menunjukkan bahawa insan memiliki kemampuan untuk memerhati dan berfikir berbandng dengan makhluk lain. Insan mampu untuk mengambil iktibar daripada apa yang dilihat, mengetahui yang benar dan salah serta dapat meminta izin untuk menggunakan sesuatu yang bukan miliknya. Insan  merupakan mahkluk yang dapat didik, memiliki potensi yang dapat digunakan untuk mengembangkan ilmunya. Insan menurut konsep ini dapat berpotensi untuk menjadi kreatif dan inovasi

Al-nas memberi fungsi kepada insan sebagai makhluk sosisal yang tidak dapat hidup dengan dirinya sendiri. Al-nas juga dikenali sebagai makhluk yang pelupa. Oleh itu, insan harus menjaga hubungan baik sesama mereka. Dari awal penciptaan manusia, nabi Adam AS dipasangkan dengan Hawa AS menunjukkan insan harus bersaudara dan saling membantu. Secara sederhana, Allah SWT telah menegaskan fungsi manusia dalam konsep al-nas adalah untuk hidup bersaudara dan tidak berkelahi.


Insan secara keseluruhan digelar sebagai Bani Adam kerana berasal daripada keturunan nabi Adam AS. Sebayak tujuh kali istilah Bani Adam disebut didalam al-Quran. Terdapat tiga aspek yang merujuk kepada konsep Bani Adam menurut Thabathaba'i dalam Samsul Nizar. Pertama adalah anjuran untuk berbudaya sesuai dengan ketentuan Allah seperti berpakaian menutup aurat. Kedua, mengingatkan kepada keturunan Adam agar tidak terjerumus kepada kemungkaran. Ketiga, memanafaatkan segala isi bumi dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Insan juga dikenali sebagai al-ins. Al-ins bermaksud tidak liar atau tidak biadap. Al-ins disebut sebanyak 18 kali di dalam al-Quran. Quraish Shabab mengatakan bahawa al-ins berbeza dengan makhluk al-jin kerana al-ins dapat dilihat oleh pancaindera manakala al-jin tidak dapat dilihat oleh pancaindera.


Tidak Allah SWT ciptakan insan di dunia kecuali untuk beribadah kepada-Nya. Dalam surah al-Zariyat ayat 56, Allah berfirman tentang antara  sebab kenapa insan dicipta iaitu untuk mengesakan-Nya.


Ibadah merupakan asas penting dalam kehidupan insan kerana ia sebenarnya menjadi kayu ukur untuk menilai insan. Oleh yang demikian, insan juga disebut sebagai abd Allah iaitu hamba Allah.

Insan juga dikatakan sebagai khalifah Allah SWT. Insan sebagai khalifah Allah SWT telah dibincangkan dalam entri sebelum ini. Insan telah dicipta oleh Allah SWT sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 30. Maksud khalifah adalah pengurus yang dapat mengurus serta memakmurkan apa yang ada di muka bumi termasuk tumbuh-tumbuhan, lautan mahupun haiwan. Insan wajib memanfaatkan segala apa yang ada di atas bumi dalam menjalankan tugasnya sebagai pengurus untuk mendapatkan kehidupan dengan lebih baik. Allah SWT menganugerahkan kepadainsan akal serta pancaindera sebagai alat dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.Insan wajib mengguna akal serta pancaindera untuk meneliti dan berfikir semasa menjalankan tanggungjawabnya sebagai khalifah.


Kesimpulannya, terdapat tujuh istilah yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran mengenai konsep insan. Jika konsep-konsep ini dapat dilaksanakan baik oleh insan terutamanya dalam pengurusan, fungsi insan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa membawa kemurkaan kepada Allah. Sewajibnya, sebagai makhluk ciptaan Allah, insan patut sedar tentang kelebihan serta kelemahan masing-masing untuk mendapat redha Allah.