Isnin, 16 November 2015

PENDEKATAN PEMBANGUNAN INSANIAH DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA


Tugasan blog SYW502
Nik Nur Syuhada Nik Saleh @ Nik Abdullah
P-SM0029/14
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
 (Pengurusan Pembangunan Islam)

Pendahuluan

Keluarga adalah satu-satunya hubungan diantara manusia yang terhasil berasaskan pertalian darah. Seseorang individu tidak mungkin dapat memilih ibu bapa, adik-beradik mahupun kaum kerabat seperti memilih pasangan hidup atau teman seperjuangan, sebaliknya memperolehi keluarga secara mutlak. Berdasarkan definisi yang telah dikemukakan oleh Duvall dan Logan (1986), keluarga adalah sekumpulan manusia yang mempunyai ikatan perkahwinan, kelahiran dan adopsi yang menciptakan serta mempertahankan budaya dan meningkatkan perkembangan fizik, mental, emosi dan sosial dari setiap ahli keluarga. Ini bermaksud, keluarga adalah sekumpulan manusia yang berada dalam satu kelompok yang mempunyai pertalian darah berasaskan kepada perkahwinan dan lain-lain, dan hasil daripada hubungan tersebut adalah ahli-ahli keluarga yang bersama-sama membesar dan berkembang.

Keluarga dalam Islam juga mempunyai simbolik tertentu iaitu sebagai suatu kesatuan paling asas yang membawa kepada tertegaknya sebuah jamaah dalam Islam (Al-Faqir, 2013). Bagi setiap Muslim, keluarga merupakan faktor pendukung yang penting dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ini kerana, keluarga adalah kelompok yang paling rapat dan berpengaruh dalam menjalani kehidupan seharian. Islam menjadikan keluarga sebagai tempat untuk menjaga diri iaitu dengan menciptakan ketenteraman dan keselamatan dari segala aspek kejahatan yang timbul, sehingga sebuah keluarga harus dijadikan sebagai tempat tinggal yang penuh dengan kebahagiaan agar seluruh anggota keluarga berasa senang untuk berada di rumah dan selalu merindui antara satu sama lain (Tarqum Aziz, 2015).  

Firman Allah SWT yang bermaksud:

 “Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah sebagai tempat tinggal...” (Al-Nahl, 16:80)


Untuk mewujudkan keluarga seperti yang dibincangkan, suami dan isteri haruslah bersama-sama untuk memupuk dan mengekalkan cinta yang dianugerah oleh Allah SWT terhadap pasangan dan zuriat masing-masing. Selain itu, setiap Muslim digalakkan sentiasa berdoa untuk mendapatkan pasangan serta anak-anak yang menjadi penenang hati dalam keluarga.

Keluarga Bahagia Mengikut Acuan Islam


Mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia adalah satu tugasan yang penting bagi setiap ahli keluarga. Tugasan ini dikatakan penting untuk meneruskan kesinambungan kaum kerabat sehingga berkembang membentuk suatu keluarga yang besar dalam acuan yang betul. Sebuah keluarga Muslim yang bahagia haruslah mengikut acuan Islam untuk memperoleh suasana mawardah dan rahmah. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, ialah Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa bahagia kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) rasa kasih sayang sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Al-Rum 30: 21)

Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT menjelaskan tentang ciri-ciri sebuah keluarga yang bahagia. Sebuah keluarga yang bahagia menurut surah al-Rum ayat 21 ialah sebuah keluarga yang mempunyai suasana mawardah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan) diantara pasangan suami dan isteri. Bagi setiap pasangan, keberadaan dalam suasana mawardah dan rahmah merupakan satu matlamat yang utama bagi sebuah keluarga. Perkara ini kerana berada dalam suasana mawardah dan rahmah dapat mengatasi fitnah-fitnah yang boleh menyebabkan berlaku perpecahan keluarga. Keluarga yang dibentuk mengikut acuan Islam adalah sebuah keluarga yang kukuh kerana sentiasa dilimpahi rahmat daripada Allah SWT. Suasana mawardah dan rahmah berlangsung apabila penerapan akidah yang kukuh dan semangat ahli keluarga dalam mengerjakan perintah Allah SWT dengan sempurna dapat menjadi sebagai benteng perlindungan daripada pengaruh negatif terhadap keluarga tersebut (Al-Faqir, 2013).

Pendekatan Pembangunan Insaniah dalam Keluarga

Dalam mewujudkan sebuah keluarga bahagia yang mempunyai suasana mawardah dan rahmah, komponen pembangunan insaniah terhadap ahli keluarga adalah penting untuk diterapkan dalam rumah tangga. Secara ringkas, pembangunan insaniah dalam konteks perbincangan ini adalah pembangunan kerohanian yang merangkumi aspek akidah, ibadah dan akhlak bagi setiap ahli keluarga (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Insaniah pula adalah sifat perikemanusiaan yang wujud dalam diri ahli keluarga secara semula jadi seperti belas kasihan, bertimbang rasa, mengenang budi, pemaaf, sabar, beramanah, adil dan sedar akan tanggungjawabnya serta lain-lain lagi (Fadhullah Mohd Jamil, 1985). Justeru, pembangunan insaniah yang dimaksudkan dalam perbincangan ini adalah suatu anjakan paradigma yang dilakukan oleh setiap ahli keluarga kearah perkara yang positif, bertindak mengikut lunas-lunas akhlak yang mulia dan tidak tunduk kepada hawa nafsu.

Komponen pembangunan insaniah dalam membentuk keluarga bahagia merangkumi dua komponen utama iaitu komponen spiritual dan komponen fizikal terhadap ahli keluarga. Apabila membincangkan komponen spiritual, aspek utama yang disentuh dalam membentuk keluarga bahagia adalah mengenai aspek akidah iaitu meliputi unsur iman dan nafsu manakala komponen fizikal pula meliputi aspek ibadah dan akhlak. Penyepaduan diantara komponen ini dapat mewujudkan suasana mawardah dan rahmah dalam keluarga kerana mendasari hak-hak yang sepatutnya diperolehi oleh setiap ahli keluarga dalam berkeluarga berdasarkan landasan Islam.

Pembentukan sebuah keluarga sakinah bermula daripada seseorang ahli keluarga itu sendiri. Komponen spiritual merangkumi pemahaman tentang akidah yang kukuh dalam meningkatkan tahap keimanan ahli keluarga. Namun begitu, iman saling berkait rapat dengan nafsu kerana tinggi atau rendah iman ahli keluarga bergantung kepada tahap nafsu mereka. Sejahat-jahat nafsu adalah ditahap ammarah, lawwamah dan mulhamah yang diimani dengan iman taqlid dan iman ilmu. Sebaik-baik nafsu pula adalah diperingkat mutmainah, radhiyah, mardhiyah dan kamilah yang diimani dengan iman ayan, iman haq dan iman haqiqat. Walau bagaimanapun, iman ahli keluarga dapat dipertingkatkan dengan melakukan ibadah-ibadah asas yang didasari oleh rukun Islam dan rukun iman, amalan-amalan utama seperti berwirid, berzikir, bertasbih dan melakukan perkara-perkara sunat yang digalakkan dalam Islam (Muhamad Syukri Salleh, 2003).

Perbincangan dari segi komponen fizikal pula menyentuh tentang aspek ibadah dan akhlak. Ibadah terdiri daripada ibadah khusus yang merupakan kewajipan setiap ahli keluarga untuk melaksanakannya seperti solat lima waktu, berpuasa, mengeluarkan zakat, dan lain-lain yang didasari oleh rukun Islam dan rukun iman. Selain itu, melakukan fadho-ilil-amal seperti berwirid, berzikir, bertasbih, perkara-perkara sunat dan lain-lain lagi antara ibadah khusus yang digalakkan oleh Islam untuk dijadikan amalan setiap ahli keluarga (Muhammad Syukri Salleh, 2003). Bagi ibadah umum pula adalah ibadah yang bersifat fardhu kifayah seperti belajar, bergurau senda sesama ahli keluarga, tolong menolong, beriadah dan lain-lain. Hasil penyepaduan diantara dua jenis ibadah ini, ahli keluarga dapat menegakkan hubungan dengan Allah SWT secara khusus, dan hubungan sesama makhluk sama dengan kaum kerabat mahupun alam secara umumnya.

Apabila ahli keluarga melakukan sesuatu pekerjaan yang baik dengan meletakkan niat melakukan sesuatu kerana Allah, pekerjaan tersebut akan dikira sebagai suatu ibadah (Shaharom TM Sulaiman, 1997). Untungnya keluarga tersebut adalah apabila melakukan sesuatu yang menjadi ibadah, ganjaran pahala akan dikurniakan oleh Allah SWT terhadapnya. Muhammad Syukri Salleh (2003) menggariskan lima kaedah untuk menjadi pekerjaan tersebut sebagai ibadah yang diterima oleh Allah iaitu, pertama adalah berasaskan niat kerana Allah SWT, kedua, isinya tidak bertentangan dengan syariat Islam, ketiga, pelaksanaannya menurut syariat Islam, seterusnya, kesannya tidak bertentangan dengan syariat Islam dan yang terakhir adalah dengan tidak meninggalkan ibadah khusus semasa melakukan pekerjaan tersebut.

Selain itu, aspek akhlak ahli keluarga juga memainkan peranan dalam membentuk keluarga bahagia. Menurut pendapat Ibn Miskawayh (1999), akhlak adalah suatu keadaan jiwa yang membawa seseorang untuk melakukan sesuatu tanpa pertimbangan akal. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa akhlak adalah suatu perbuatan yang lahir tanpa dikawal oleh sesuatu seperti pemikiran tetapi terhasil setelah ada sifat yang teguh dalam jiwa insan. Dalam bahasa yang mudah, akhlak adalah suatu sifat semulajadi yang terhasil kerana didorong oleh pengalaman-pengalaman lalu. Penerapan akhlak yang baik dalam berkomunikasi sesama ahli keluarga dapat meningkatkan rasa hormat dan kasih-sayang terhadap ahli keluarga.

Aspek akidah, ibadah dan akhlak saling berkait rapat dalam membentuk suasana mawardah dan rahmah dalam keluarga. Sebagai contoh, solat merupakan ibadat yang boleh menghalang ahli keluarga daripada melakukan perbuatan mungkar iaitu perbuatan salah dan terlarang. Allah SWT menegaskan bahawa solat yang dilakukan oleh ahli keluarga tersebut boleh menegah dirinya daripada melakukan dosa-dosa dan kemungkaran. Ini dapat dibuktikan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:

“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.” (Al-Ankabut, 29:45)

Berdasarkan ayat tersebut, ibadah solat dapat menjauhi ahli keluarga daripada melakukan kerosakan dalam berumah tangga. Namun begitu, apabila kekacauan dalam keluarga masih lagi berlaku walaupun ahli keluarga menunaikan solat, ini tidak bermaksud solat tidak membantu untuk mencegah kemungkaran. Kebarangkalian ibadah solat yang dilakukannya masih belum sempurna adalah tinggi kerana ibadah solat pada asasnya adalah adalah untuk mencegah kemungkaran. Oleh yang demikian, setiap ahli keluarga perlu berusaha untuk membaiki solat mereka dengan sempurna sehingga memperoleh khusyuk dalam menunaikan solat.

Menurut Amran Kasimin (1992), ibadah solat dapat mendidik ahli keluarga supaya bersifat tenang dan tertib. Ini kerana dengan melakukan ibadah solat, perkara yang diharapkan oleh setiap ahli keluarga adalah untuk mencapai reda Allah SWT semata-mata serta takut terhadap azab-Nya kelak. Perasaan reda serta takut inilah yang akan memberi kesan positif terhadap akhlak ahli keluarga apabila menjalani kehidupan rumah tangga dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dengan itu, pembentukan akhlak mulia juga dapat disemai dengan baik dalam jiwa ahli keluarga apabila ibadah dapat dilakukan dengan sempurna. Ibadah yang sempurna adalah hasil daripada pegangan akidah yang kukuh terhadap suruhan dan larangan Allah SWT.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan, dapat diperhati dengan jelas perkaitan antara pembangunan insaniah yang merangkumi aspek akidah, ibadah dan akhlak dalam membentuk sebuah keluarga bahagia mengikut acuan Islam. Menerusi pendekatan pengurusan insaniah ini, suasana mawardah dan rahmah berdasarkan komponen spiritual dan fizikal perlu disepadukan dengan holistik dalam membentuk keluarga bahagia. Kesimpulannya, pembentukan keluarga sakinah pada hakikatnya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT berlandaskan syariat Islam. Selain itu, keluarga merupakan entiti permulaan untuk pembangunan sesebuah tamadun. Andainya tapak kepada sesebuah tamadun retak, maka sesebuah tamadun tidak dapat dihasilkan. Justeru, dalam konteks menghasilkan tamadun yang berteraskan Islam, sewajarnya pendekatan pembangunan insaniah diterapkan di peringkat yang paling asas iaitu dalam membentuk keluarga bahagia dalam suasana mawadah dan rahmah.


BIBLIOGRAFI

Al-Faqir (2013). Keluarga dalam Islam. Diakses daripada https://sekteislam.wordpress.com/2013/03/04/keluarga-dalam-islam/ pada 5 November 2015.

Amran Kasimin (1992). Bagaimana mencegah kejahatan melalui sembahyang? Bandar Baru Bangi: Dinie Publishers.

Fadhullah Mohd Jamil (1985). Rasulullah SAW sebagai pembina insaniah. Pulau Pinang: Pusat Islam, USM.

Muchlisin Riadi (2012). Pengertian keluarga. Diakses daripada http://www.kajianpustaka.com/2012/11/definisi-fungsi-dan-bentuk-keluarga.html pada 5 November 2015.

Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn Bhd.

Shaharom TM Sulaiman (1997). Pengurusan Islam dan pembangunan manusia. Batu Caves: Thinker’s Library Sdn Bhd.

Tazqum Aziz (2015). Membangun keluarga sakinah mawaddah warahmah. Diakses daripada http://tarqumaziz.blogspot.my/2015/01/membangun-keluarga-sakinah-mawaddah.html pada 5 November 2015.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan