Isnin, 9 Mac 2015

Apa itu Pengurusan?






 Pengurusan adalah suatu bidang pengendalian kerja yang luas. Bidang pengurusan sangat diperlukan oleh sesebuah organisasi bagi mengurus serta mentadbir organisasi dengan baik untuk mencapai matlamat organisasi.

Menurut Follett (1949), pengurusan adalah suatu seni dalam melaksanakan sesuatu tugas melalui orang lain.  Seni adalah merujuk kepada kemahiran bakat serta kebolehan yang ada pada seseorang pengurus dalam mengendalikan tanggungjawab yang diberikan (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1991:37). Stoner dan Hellriegel (1992) bersetuju bahawa pengurusan adalah suatu proses perancangan, penyusunan, pengarahan dan pengawalan usaha ahli organisasi dan matlamat organisasi adalah perkara paling utama dalam menentu arah serta aktiviti organisasi.

Terdapat banyak jenis bidang pengurusan. Antaranya bidang pengurusan sumber manusia, pengurusan kualiti, pengurusan institusi, pengurusan teknologi maklumat dan sebagainya. Penglibatan manusia tidak dapat lagi dinafikan dalam bidang ini. Kakitangan atau pekerja, merupakan tulang belakang dalam membangunkan sesebuah organisasi. Dianggarkan bahawa 40 peratus daripada jumlah produktiviti sesebuah organisasi bergantung kepada daya usaha pekerjanya. 60 peratus yang lain itu adalah daripada sumber-sumber lain bergantung kepada cara sumber berkenaan diuruskan.

Sejarah ringkas bidang pengurusan

Bidang pengurusan timbul pada akhir kurun ke-18 dan awal ke-19 semasa revolusi perindustrian sedang hangat berlangsung di Eropah. Revolusi ini telah mencetus pengaruh terhadap sistem sosial dan ekonomi di beberapa tempat seperti United Kingdom, Eropah Barat dan Amerika Syarikat, menyebabkan permintaan terhadap tenaga buruh meningkat secara mendadak. Walaubagai manapun, masalah-masalah pekerja berkaitan dengan produktiviti, suasana tempat kerja, ketidakpuasan bekerja, hubungan kesatuan sekerja dengan majikan, kebajikan pekerja dan sebagainya mulai timbul. Masalah-masalah yang ditimbulkan oleh pekerja telah melahirkan teori pengurusan yang lebih sistematik oleh pakar-pakar dalam bidang pengurusan.

 Antara penyumbang teori-teori pengurusan seperti Adam Smith, Karl Marx, Frederick Taylor, Douglas McGregor, John R. Commons dan Peter Drucker. Namun, terdapat perbezaan pandangan serta falsafah yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh ini didokong oleh masyarakat pada zaman tersebut. Perbezaan ini mencakupi aspek budaya, ekonomi, agama serta politik.

Kemunculan ahli-ahli ekonomi pada kurun ke-18 seperti Adam Smith, David Ricardo, Thomas Malthus dan John Stuart Mill telah merubah pandangan masyarakat terhadap konsep pengurusan yang pada asalnya masyarakat mengamalkan sistem "Master and Servant". Pada pandangan tokoh-tokoh ini, buruh mesti dilayan sama seperti faktor pengeluaran yang lain (modal, tanah dan bangunan) kerana buruh juga memberi kesan terhadap permintaan kepenggunaan. Dengan kata lain, buruh dianggap sebagai hamba ekonomi yang bekerja demi mencapai kemajuan organisasi.

Karl Marx melihat terdapatnya konflik kepentingan di antara golongan bawahan dan golongan kapitalis terhadap teori yang dibawa oleh mereka. Beliau menganggap golongan kapitalis telah mengekploitasi golongan bawahan . Atas dasar tersebut, Marx berpendapat sistem ini perlu dibuang dan diganti dengan suatu sistem lain yang mana pengawalnya adalah pekerja yang dapat mengendalikan alat pengeluaran. bagaimana pun, teori Marxist ini mendapat tentangan oleh golongan Institutional Economists.

Golongan institutional Economists mengakui terdapatnya konflik kepentingan diantara majikan dan pekerja. Mereka memandang konflik ini sebagai "faktor semulajadi kepada organisasi" dan penyelesainya adalah dengan membuat rundingan serta kompromi dalam permintaan majikan. Mereka telah menyediakan asas pembentukan undang-undang pada tahun 1930-an yang mana undang-undang tersebut diguna pakai hingga ke hari ini. Melalui tindakan mereka, ekploitasi ke atas buruh kanak-kanak, kadar upah minimum, jaminan sosial, insuran bekerja dan pampasan pekerja dapat diatasi.

Sebagai kesimpulannya, bidang pengurusan adalah bidang yang melibatkan proses meramal, merancang, mengorganisasi, mengarah, menyelaras serta mengawal sesebuah organisasi untuk mencapai hala tuju yang melibatkan manusia. Bidang pengurusan sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman dan sesuai dilaksanakan pada waktu tersebut. Idea yang baik dapat mengembangkan pelaksanaan kerja serta dapat memajukan organisasi tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan