Sabtu, 28 Mac 2015

Acuan Pengurusan Insaniah berteraskan Islam



Pengurusan  insaniah adalah salah satu bidang yang melibatkan proses mengorganisasi dan merancang sesebuah aktiviti. Bidang pengurusan insaniah  amat penting dalam membangunkan sesebuah organisasi, institusi mahupun negara. Penglibatan insan dilihat sebagai tunggak paling utama dalam bidang ini untuk menggerakkan pembangunan di dunia melebihi fungsi sumber pengeluaran yang lain seperti mesin dan khazanah alam.

 Teori pengurusan yang sistematik tercetus apabila terdapat masalah-masalah tertentu semasa proses pengendalian berlangsung. Antaranya teori pengurusan yang paling ketara, tercetusnya pengurusan sumber manusia yang didokong oleh pemikir pengurusan lazim dan pengurusan insaniah berteraskan Islam yang didokong oleh sarjana pengurusan Islam.

Pengurusan insaniah berteraskan Islam tidak lahir daripada pengurusan lazim kerana dua bidang pengurusan ini lahir daripada paradigma yang berbeza. Pengurusan insaniah berteraskan Islam lahir daripada paradigma epistemologi dan tasawur yang tersendiri. 

Epistemologi pengurusan lazim hasil daripada ilmu teori pengurusan barat yang dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran pengasas falsafah barat. Pemikiran barat didasari oleh hujah-hujah akal dan rasional semata-mata. Manakala Pengurusan insaniah berteraskan Islam pula didasari oleh empat sumber rujukan utama Islam iaitu al-Quran, al-hadith,ijma' dan qiyas ulama' dan sarjana Islam.


Apabila berbincang mengenai sumber epistemologi Islam, terdapat pembahagian ilmu dalam Islam iaitu ilmu nadhari dan ilmu daruri. Ilmu nadhari adalah ilmu yang menggunakan dalil-dalil naqli (al-Quran dan al-hadith) dan manakala ilmu daruri iaitu ilmu yang dapat diamati oleh pancaindera seperti fakta- fakta dan bukti sintifik.

Terdapat tahap keyakinan yang berbeza di antara ilmu nadhari dan ilmu daruri. Tahap keyakinan ilmu daruri adalah pada peringkat ainul-yaqin iaitu keyakinan terhadap ilmu dan pengetahuan sesuatu perkara apabila dapat dibuktikan dengan pacaindera semata-mata. Sebaliknya, tahap keyakinan ilmu nadhari pula adalah di peringkat haqqul-yaqin iaitu keyakinan terhadap ilmu dan pengetahuan tentang sesuatu perkara kerana kebenarannya (haq), walaupun pada asalnya tidak dapat dibuktikan dengan hanya menggunakan pancaindera semata. Sebagai contoh tahap keyakinan haqqul yaqin adalah semasa peristiwa Israj Mikraj. Saidina Abu Bakar meyakini tentang cerita perjalanan Rasulullah SAW bertemu dengan Allah SWT hanya dalam jangka masa yang singkat (semalaman) adalah bukti keyakinan haqqul yaqin Saidina Abu Bakar tentang ilmu daruri (al-Hadith)  tersebut.

Perbezaan ketara di antara sumber ilmu teori pengurusan lazim adalah kerana sumber ilmunya hanya menggunakan ilmu daruri sahaja. Dengan kata lain,  teori pengurusan lazim hanya mendasari dalil-dalil aqli dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi dalam pengurusan. Namun, dalam pengurusan berteraskan Islam, kedua-dua ilmu sama ada ilmu daruri mahupun ilmu nadhari diguna pakai dalam menyelesaikan masalah pengurusan.

Epistemologi Islam itulah yang membentuk tasawur ataupun pandangan terhadap asas pengurusan insaniah berteraskan Islam, secara langsung memberi gambaran secara keseluruhan tentang prinsip-prinsip asas Islam sehingga menjadi sebati kepada orang yang memahami dan mengamalkannya. 


Oleh yang demikian, pengurusan insaniah berteraskan Islam menggunakan acuan yang berakar umbi daripada epistemologi Islam yang mencakupi ilmu daruri dan ilmu nadhari.  Epistemologi ini membentuk kepada tasawwur Islam sekali gus menjadi acuan kepada pengurusan insaniah berteraskan Islam. Pentingnya pengurusan berteraskan Islam berpandukan tasawwur Islam kerana tasawwurlah yang membentuk acuan kehidupan manusia.

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan