Sabtu, 28 Mac 2015

Acuan Pengurusan Insaniah berteraskan Islam



Pengurusan  insaniah adalah salah satu bidang yang melibatkan proses mengorganisasi dan merancang sesebuah aktiviti. Bidang pengurusan insaniah  amat penting dalam membangunkan sesebuah organisasi, institusi mahupun negara. Penglibatan insan dilihat sebagai tunggak paling utama dalam bidang ini untuk menggerakkan pembangunan di dunia melebihi fungsi sumber pengeluaran yang lain seperti mesin dan khazanah alam.

 Teori pengurusan yang sistematik tercetus apabila terdapat masalah-masalah tertentu semasa proses pengendalian berlangsung. Antaranya teori pengurusan yang paling ketara, tercetusnya pengurusan sumber manusia yang didokong oleh pemikir pengurusan lazim dan pengurusan insaniah berteraskan Islam yang didokong oleh sarjana pengurusan Islam.

Pengurusan insaniah berteraskan Islam tidak lahir daripada pengurusan lazim kerana dua bidang pengurusan ini lahir daripada paradigma yang berbeza. Pengurusan insaniah berteraskan Islam lahir daripada paradigma epistemologi dan tasawur yang tersendiri. 

Epistemologi pengurusan lazim hasil daripada ilmu teori pengurusan barat yang dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran pengasas falsafah barat. Pemikiran barat didasari oleh hujah-hujah akal dan rasional semata-mata. Manakala Pengurusan insaniah berteraskan Islam pula didasari oleh empat sumber rujukan utama Islam iaitu al-Quran, al-hadith,ijma' dan qiyas ulama' dan sarjana Islam.


Apabila berbincang mengenai sumber epistemologi Islam, terdapat pembahagian ilmu dalam Islam iaitu ilmu nadhari dan ilmu daruri. Ilmu nadhari adalah ilmu yang menggunakan dalil-dalil naqli (al-Quran dan al-hadith) dan manakala ilmu daruri iaitu ilmu yang dapat diamati oleh pancaindera seperti fakta- fakta dan bukti sintifik.

Terdapat tahap keyakinan yang berbeza di antara ilmu nadhari dan ilmu daruri. Tahap keyakinan ilmu daruri adalah pada peringkat ainul-yaqin iaitu keyakinan terhadap ilmu dan pengetahuan sesuatu perkara apabila dapat dibuktikan dengan pacaindera semata-mata. Sebaliknya, tahap keyakinan ilmu nadhari pula adalah di peringkat haqqul-yaqin iaitu keyakinan terhadap ilmu dan pengetahuan tentang sesuatu perkara kerana kebenarannya (haq), walaupun pada asalnya tidak dapat dibuktikan dengan hanya menggunakan pancaindera semata. Sebagai contoh tahap keyakinan haqqul yaqin adalah semasa peristiwa Israj Mikraj. Saidina Abu Bakar meyakini tentang cerita perjalanan Rasulullah SAW bertemu dengan Allah SWT hanya dalam jangka masa yang singkat (semalaman) adalah bukti keyakinan haqqul yaqin Saidina Abu Bakar tentang ilmu daruri (al-Hadith)  tersebut.

Perbezaan ketara di antara sumber ilmu teori pengurusan lazim adalah kerana sumber ilmunya hanya menggunakan ilmu daruri sahaja. Dengan kata lain,  teori pengurusan lazim hanya mendasari dalil-dalil aqli dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi dalam pengurusan. Namun, dalam pengurusan berteraskan Islam, kedua-dua ilmu sama ada ilmu daruri mahupun ilmu nadhari diguna pakai dalam menyelesaikan masalah pengurusan.

Epistemologi Islam itulah yang membentuk tasawur ataupun pandangan terhadap asas pengurusan insaniah berteraskan Islam, secara langsung memberi gambaran secara keseluruhan tentang prinsip-prinsip asas Islam sehingga menjadi sebati kepada orang yang memahami dan mengamalkannya. 


Oleh yang demikian, pengurusan insaniah berteraskan Islam menggunakan acuan yang berakar umbi daripada epistemologi Islam yang mencakupi ilmu daruri dan ilmu nadhari.  Epistemologi ini membentuk kepada tasawwur Islam sekali gus menjadi acuan kepada pengurusan insaniah berteraskan Islam. Pentingnya pengurusan berteraskan Islam berpandukan tasawwur Islam kerana tasawwurlah yang membentuk acuan kehidupan manusia.

 


Sabtu, 21 Mac 2015

Penerapan prinsip-prinsip kerja Ubudiyah, Masuliyyat, Itqan dan Qanaah dalam bidang Pengurusan Insaniah


Peranan manusia dalam bidang pengurusan insaniah amatlah penting. Lebih-lebih lagi dalam melaksanakan tanggungjawab seterusnya melahirkan pengurus yang cemerlang.  Seseorang individu perlulah mempunyai prinsip- prinsip  kerja seperti berikut dalam menguruskan tanggungjawab masing-masing seperti:


Ubudiyah - Pengabdian kepada Allah SWT

Sumber


Sebagai seorang hamba, tugas utama manusia adalah dengan menjadikan Allah SWT sebagai Tuannya. Sebagai hamba, wajib untuk manusia taat dengan perintah-Nya serta meninggal apa yang dilarang oleh- Nya dan tidak menyekutukan-Nya. Dalam apa jua keadaan,  manusia perlu meletak keutamaan ke atas perkara yang diredhai oleh-Nya. Dalam konteks pengurusan, manusia sebagai pengurus yang mentadbir organisasi perlulah mentadbir mengikut acuan yang telah digariskan oleh syariat Islam. Sebagai pengurus projek, ketua jabatan mahupun pekerja biasa, setiap tugasan yang dilakukan perlu pastikan perkara tersebut di dalam keredhaan Allah SWT seperti menjaga solat lima waktu, tidak mengambil rasuah, memastikan setiap tugasan yang diberikan dijalan dengan baik,  menjaga batas pergaulan, tidak menipu, tidak mengekploitasi pekerja lain dan tidak mengganggu melakukan ibadah.

Meletakkan status bekerja itu adalah ibadah akan menjadikan seseorang individu lebih dekat kepada Tuannya, lebih cepat untuk individu tersebut berada dalam keredhaan-Nya.

Mas uliyyat- Menuntut individu supaya sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan olehnya

Sumber


Dari Ibnu Umar ra dari Nabi saw, Baginda saw bersabda, maksudnya:

“Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamumu. Seorang amir/penguasa/ atau pemimpin yang berkuasa terhadap rakyat akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya .Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin rumahtangga suami dan anak-anaknya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang hamba adalah pemimpin atas harta kekayaan tuannya yang dipercayakan kepadanya. Dia juga akan ditanya tentang kepimpinannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamu. ” 
- Imam Muslim.

Hadith ini menjelaskan tentang dua perkara; pertama setiap orang memikul amanah dan tanggung jawab yang wajib ditunaikan ( kecualilah orang yang tidak mukallaf) dan kedua; setiap amal sama ada kecil atau besar, akan ditanya dan periksa oleh Allah SWT.

Sumber


Tugasan yang telah diserahkan kepada individu merupakan amanah dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan dengan sempurna seperti yang telah ditetapkan dalam organisasi selagi mana tugasan itu selari dengan syariat Islam. Komunikasi yang baik boleh meningkatkan hubungan di antara pekerja dan mengurangkan salah faham di dalam menjalankan aktiviti organisasi. Perlu disedari bahawa jawatan, kerja, tugas atau apa-apa profesyen bukanlah satu kebanggaan sekiranya individu tersebut pecah amanah atau membuat kerja sambil lewa dalam menunaikan tanggungjawab dalam bekerja. Sebagai ketua pula, individu tersebut bertanggungjawab ke atas akhlak dan prestasi pekerja dibawah seliaanya. Pemerhatian dari semasa perlu dilakukan terhadap pekerjanya bukan bertujuan untuk mengawal atau mencari kelemahan mereka tetapi sebaliknya untuk sama-sama mengatasi masalah tersebut seterusnya membuang perangai mazmumah untuk meningkatkan prestasi kerja dengan lebih baik.

Itqan- ketekunan


sumber


Manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah yang sama. Namun, semangat dan kesungguhan yang kuat akan membezakan diri individu dalam menjalani kehidupan. Prinsip itqan dalam pengurusan menuntut supaya manusia melakukan tugasan dengan cara yang bersungguh-sungguh serta tekun menghadapinya. Bertanya jika buntu, mencari jalan penyelesaian dengan cara yang betul, belajar sehingga faham dapat membantu individu terus maju dalam setiap tindakannya. Melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh  juga menggambarkan kesempurnaan iman dan taqwa ketulusan hati, keluhuran budi dan kemuliaan akhlak yang semua sifat-sifat ini akan dikira oleh Allah dalam menentukan amal hamba-Nya diterima atau sebaliknya. Prestasi organisasi akan terus meningkat jika setiap pekerjanya dapat menghayati prinsip itqan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.


Qanaah -sentiasa berpuas hati dengan rezeki yang diberikan oleh Allah


sumber
Sifat qanaah mengajar individu menjadi seseorang yang bersyukur. Mereka yakin jika usaha atau kerjanya tidak mendapat ganjaran yang setimpal atau sepatutnya daripada majikannya, maka ganjaran itu akan diperoleh di akhirat kelak. Qanaah tidak menjadikan individu tersebut menjadi pasif sebaliknya menjadikan individu tersebut lebih bersifat terbuka (tidak iri hati kepada orang lain, mengeksploitasikan orang lain dan sebagainya) kerana meyakini Allah akan memberi ganjaran lain kepadanya kelak.

Sebagai kesimpulan, prinsip-prinsip yang dibincangkan diatas boleh melahirkan individu yang mulia akhlaknya di samping dapat menjadi seorang hamba Allah SWT yang diredhai-Nya. Prinsip-prinsip ini sewajarnya diterapkan dalam organisasi atau institusi pengurusan untuk memperbaiki kelemahan dan lompang sistem-sistem pengurusan yang ada. Hakikatnya, setiap individu perlu mempraktis prinsip-prinsip ini sehingga menjadi budaya dalam melakukan tugasan harian.

Sabtu, 14 Mac 2015

Pengurusan dari perspektif Islam


Islam adalah ad-Din ataupun cara hidup yang memegang tradisi dan budaya yang tersendiri. Islam datang dalam keadaan sejahtera untuk memakmurkan makhluk di bumi termasuklah manusia, haiwan dan alam. Perkara yang membezakan Islam daripada agama lain adalah dari segi ideologi dan kefahamannya. Salah satu aspek kehidupan yang ditetapkan dalam Islam adalah pengendalian sesuatu organisasi mengikut sistem yang tersendiri seperti yang telah digariskan oleh Allah SWT. Sistem pengurusan Islam bukan dicipta oleh akal manusia sebaliknya merupakan wahyu Allah SWT. Seseorang yang beragama Islam, sama ada menjadi pengurus atau pekerja, mereka wajib mempraktiskan cara hidup yang syumul berpandukan sumber Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Definisi pengurusan dari perspektif Islam yang telah dikemukakan oleh Mohd Affandi Hassan (1992: 56) melihat pengurusan ini adalah satu bentuk pemenuhan amanah keinsanan di antara Tuhan dengan manusia. Manusia selaku hamba dan juga khalifah-Nya wajib melaksanakan amal kebaikan berasaskan prinsip kerjasama dan syuradalma aktiviti pengurusan. Matlamat pengurusan adalah untuk membangunkan tamadun yang berasaskan nilai- nilai etka tauhidik dan harus memastikan pengurusan tersebut bersih daripada korupsi, sifat-sifat tercela dan ketidakadilan sama ada di dalam organisasi mahupun masyarakat demi mencapai matlamat yang lebih utama iaitu, al-falah.


Al-Quran menjelaskan tentang segala sesuatu  perkara yang zahir mahupun tersembunyi, sama ada dalam pemerhatian manusia atau luar pemerhatian manusia. Sebelum membincangkan tentang lebih mendalam mengenai pengurusan dari perspektif Islam, ada baiknya kita berbincang tentang pelaku kepada pengurusan ini iaitu tidak lain dan tidak bukan, manusia.



" dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi..." [al-Baqarah, 2:30]


Manusia telah dicipta oleh Allah SWT sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 30. Maksud khalifah adalah pengurus yang dapat mengurus serta memakmurkan apa yang ada di muka bumi termasuk tumbuh-tumbuhan, lautan mahupun haiwan. Manusia wajib memanfaatkan segala apa yang ada di atas bumi dalam menjalankan tugasnya sebagai pengurus untuk mendapatkan kehidupan dengan lebih baik. Allah SWT menganugerahkan kepada manusia akal serta pancaindera sebagai alat dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. Manusia wajib mengguna akal serta pancaindera untuk meneliti dan berfikir semasa menjalankan tanggungjawabnya sebagai khalifah.

Asas ilmu pengurusan menurut Islam adalah bertunjangkan akidah islamiah iaitu, tauhid.Tauhid itu adalah  mengesakan Allah SWT dengan mengakui dan meyakini bahawa tiada Pencipta selain  Allah SWT dan melakukan segala suruhan-Nya seperti solat, puasa, keluarkan zakat dan lain-lain serta meninggalkan segala yang dilarang oleh-Nya seperti mensyirikkan Allah SWT, merosakkan muka bumi dan lain-lain. Dengan mengesakan Allah SWT, manusia juga diamanahkan oleh Allah unutk menunaikan ibadah kepada-Nya. Meletakkan tauhid sebagai asas ilmu pengurusan menurut Islam adalah tepat kerana selain daripada menghormati tanggungjawab manusia sebagai pengurus muka bumi seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 30, manusia juga turut dapat menunaikan tanggungjawabnya dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT.


Firman-Nya yang bermaksud:


“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan Manusia melaikan untuk beribadah kepadaku”.
 [Al- Dzariyat, 51: 56]

Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Mukminun ayat 155 yang bermaksud:


“Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu (menyangka) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” 
[Al-Mukminun ,23 : 115 ]



Selepas meneliti perbincangan di atas, kita dapat melihat kaitan di antara pengurusan dan manusia memang tidak dapat berpisah. Al- Quran awal-awal lagi menjelaskan tentang hakikat fungsi manusia sebagai pengurus muka bumi di samping menjadi hamba Allah SWT. Sesungguhnya al-Quran itu adalah panduan hidup.

Tokoh-tokoh  barat berpandangan bahawa fungsi manusia adalah sebagai makhluk ekonomi seperti mana yang telah dibincangkan dalam entri 'Apa itu Pengurusan? ' adalah tidak tepat kerana menyalahi hukum alam. Oleh yang demikian,  perkara pertama atau asas dalam pengurusan perlu  diubah dengan mengembalikan fungsi asal manusia iaitu sebagai hamba Allah SWT. Manusia yang dijadikan oleh Allah SWT tidak berfungsi untuk menjadi makhluk ekonomi ataupun mesin secara total tapi sebaliknya akal dan pancaindera yang ada pada manusia hanya sekadar alat untuk mencapai kemakmuran di atas muka bumi.



Isnin, 9 Mac 2015

Apa itu Pengurusan?






 Pengurusan adalah suatu bidang pengendalian kerja yang luas. Bidang pengurusan sangat diperlukan oleh sesebuah organisasi bagi mengurus serta mentadbir organisasi dengan baik untuk mencapai matlamat organisasi.

Menurut Follett (1949), pengurusan adalah suatu seni dalam melaksanakan sesuatu tugas melalui orang lain.  Seni adalah merujuk kepada kemahiran bakat serta kebolehan yang ada pada seseorang pengurus dalam mengendalikan tanggungjawab yang diberikan (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1991:37). Stoner dan Hellriegel (1992) bersetuju bahawa pengurusan adalah suatu proses perancangan, penyusunan, pengarahan dan pengawalan usaha ahli organisasi dan matlamat organisasi adalah perkara paling utama dalam menentu arah serta aktiviti organisasi.

Terdapat banyak jenis bidang pengurusan. Antaranya bidang pengurusan sumber manusia, pengurusan kualiti, pengurusan institusi, pengurusan teknologi maklumat dan sebagainya. Penglibatan manusia tidak dapat lagi dinafikan dalam bidang ini. Kakitangan atau pekerja, merupakan tulang belakang dalam membangunkan sesebuah organisasi. Dianggarkan bahawa 40 peratus daripada jumlah produktiviti sesebuah organisasi bergantung kepada daya usaha pekerjanya. 60 peratus yang lain itu adalah daripada sumber-sumber lain bergantung kepada cara sumber berkenaan diuruskan.

Sejarah ringkas bidang pengurusan

Bidang pengurusan timbul pada akhir kurun ke-18 dan awal ke-19 semasa revolusi perindustrian sedang hangat berlangsung di Eropah. Revolusi ini telah mencetus pengaruh terhadap sistem sosial dan ekonomi di beberapa tempat seperti United Kingdom, Eropah Barat dan Amerika Syarikat, menyebabkan permintaan terhadap tenaga buruh meningkat secara mendadak. Walaubagai manapun, masalah-masalah pekerja berkaitan dengan produktiviti, suasana tempat kerja, ketidakpuasan bekerja, hubungan kesatuan sekerja dengan majikan, kebajikan pekerja dan sebagainya mulai timbul. Masalah-masalah yang ditimbulkan oleh pekerja telah melahirkan teori pengurusan yang lebih sistematik oleh pakar-pakar dalam bidang pengurusan.

 Antara penyumbang teori-teori pengurusan seperti Adam Smith, Karl Marx, Frederick Taylor, Douglas McGregor, John R. Commons dan Peter Drucker. Namun, terdapat perbezaan pandangan serta falsafah yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh ini didokong oleh masyarakat pada zaman tersebut. Perbezaan ini mencakupi aspek budaya, ekonomi, agama serta politik.

Kemunculan ahli-ahli ekonomi pada kurun ke-18 seperti Adam Smith, David Ricardo, Thomas Malthus dan John Stuart Mill telah merubah pandangan masyarakat terhadap konsep pengurusan yang pada asalnya masyarakat mengamalkan sistem "Master and Servant". Pada pandangan tokoh-tokoh ini, buruh mesti dilayan sama seperti faktor pengeluaran yang lain (modal, tanah dan bangunan) kerana buruh juga memberi kesan terhadap permintaan kepenggunaan. Dengan kata lain, buruh dianggap sebagai hamba ekonomi yang bekerja demi mencapai kemajuan organisasi.

Karl Marx melihat terdapatnya konflik kepentingan di antara golongan bawahan dan golongan kapitalis terhadap teori yang dibawa oleh mereka. Beliau menganggap golongan kapitalis telah mengekploitasi golongan bawahan . Atas dasar tersebut, Marx berpendapat sistem ini perlu dibuang dan diganti dengan suatu sistem lain yang mana pengawalnya adalah pekerja yang dapat mengendalikan alat pengeluaran. bagaimana pun, teori Marxist ini mendapat tentangan oleh golongan Institutional Economists.

Golongan institutional Economists mengakui terdapatnya konflik kepentingan diantara majikan dan pekerja. Mereka memandang konflik ini sebagai "faktor semulajadi kepada organisasi" dan penyelesainya adalah dengan membuat rundingan serta kompromi dalam permintaan majikan. Mereka telah menyediakan asas pembentukan undang-undang pada tahun 1930-an yang mana undang-undang tersebut diguna pakai hingga ke hari ini. Melalui tindakan mereka, ekploitasi ke atas buruh kanak-kanak, kadar upah minimum, jaminan sosial, insuran bekerja dan pampasan pekerja dapat diatasi.

Sebagai kesimpulannya, bidang pengurusan adalah bidang yang melibatkan proses meramal, merancang, mengorganisasi, mengarah, menyelaras serta mengawal sesebuah organisasi untuk mencapai hala tuju yang melibatkan manusia. Bidang pengurusan sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman dan sesuai dilaksanakan pada waktu tersebut. Idea yang baik dapat mengembangkan pelaksanaan kerja serta dapat memajukan organisasi tersebut.

Entri Pertama



Blog ini dihasilkan bagi memenuhi tugas subjek SYW501, Pengurusan Institusi Pembangunan Islam.





Tema blog ini menggunakan sejenis bunga yang dinamakan Narcissus. Narcissus adalah sejenis bunga yang tahan lasak dan biasanya berbunga mekar pada musim bunga. Terdapat juga beberapa spesis Narcissus yang tumbuh pada musim luruh.Narsissus berasal daripada Eropah, Afrika Utara dan Asia. Bunga ini berada dalam famili Amaryllis. Biasanya kelopaknya bewarna putih serta kuning.


 Semoga blog ini bermanafaat untuk bacaan semua.