Ahad, 26 April 2015

Analisis manusia dalam Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam


Dalam buku 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam yang dikarang oleh Proffesor Dr.Muhammad Syukri Salleh (2003) menyebut tentang prinsip-prinsip yang sepatutnya dipakai oleh pembangunan yang berteraskan kepada Islam terutamanya dalam institusi yang bertunjangkan kepada falsafah yang  berteraskan Islam. Beliau percaya, perkara yang berkaitan dengan umat Islam terutamanya dalam pembangunan harus diurus mengikut syariat Islam. 

Terdapat tujuh prinsip utama yang disebut dalam buku tersebut. Prinsip yang pertama adalah tasawur Islam sebagai acuan pembangunan. Kedua, manusia sebagai pelaku pembangunan. Prinsip ketiga pula, alam roh, alam dunia dan alam akhirat sebagai skala waktu pembangunan manakala keempat, ilmu fardhu 'ain sebagai kerangka pembangunan. Kelima, ibadah sebagai perkaedahan pembangunan. Keenam sumber alam sebagai peralatan pembangunan dan prinsip yang ketujuh adalah mardhatillah ataupun mencapai redha Allah SWT adalah matlamat pembangunan.

 Tasawur Islam terbentuk hasil daripada epistemologi ilmu Islam itu sendiri yang berasaskan kepada  al-Quran, al-Sunnah, Ijmak ulama dan qias ulama.  Umat Islam mengenali agama Islam dengan ilmu yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menegaskan tentang tiga perkara utama, iaitu Allah SWT adalah Pencipta; manusia adalah makhluk dan sumber alam juga adalah makhluk yang tunduk kepada Allah SWT. 

Apabila manusia memahami tentang tiga perkara, manusia dapat membina pembangunan berteraskan Islam yang tulen mengikut acuan epistemologi dan tasawur Islam. Sumber epistemologi Islam membentuk ilmu fardhu 'ain yang bersangkut paut dengan kewajipan individu seperti hal-hal ketuhanan (ilmu tauhid), hal-hal peraturan hidup (ilmu feqah) sama ada dalam melakukan ibadah, mualamah (pergaulan),munakahat (perkahwinan) dan jinayah (pencerobohan) dan hal-hal berkaitan dengan penyucian jiwa (tasauf). Ilmu fardhu kifayah pula merangkumi aspek yang lebih luas yang melibatkan kehidupan masyarakat seperti perundangan, kedoktoran, politik, ekomoni, pembangunan, sosial dan lain-lain untuk memenuhi keperluan kemasyarakatan seperti pengurusan jenazah, pengajaran dan pengajian ilmu. Biarpun pembangunan secara umumnya berada dalam ilmu fadhu kifayah, namun tunjangnya adalah berasaskan kepada ilmu fardhu ain yang menjadi kerangka pembangunan . 

Manusia memainkan peranan yang besar dalam menggerakkan pembangunan berteraskan Islam.  Pembangunan Berteraskan Islam melihat manusia sebagai manusia yang cukup satu manusia, iaitu meliputi fizikal dan spiritualnya sedangkan pembangunan lazim hanya melihat manusia dari aspek fizikal semata-mata (Mayor melihat manusia sebagai mesin ataupun aset , manakala Henry Foyal mengatakan manusia adalah hamba ekonomi).

Apabila mengatakan manusia adalah manusia yang cukup sebagai satu manusia, hal spiritual manusia juga adalah penting untuk dinilai. Menurut Islam, ketetapan fungsi manusia adalah lebih khusus daripada menjalankan fungsi yang streotaip dan sirkularistik seperti mengguna, membesar,belajar, bekerja, berkeluarga, reproduktif dan meninggal dunia. Ketetapan  fungsi manusia telah ditetapkan sewaktu alam roh lagi. Alam roh adalah alam sebelum manusia dilahirkan ke dunia. Dalam bentuk roh ini, fungsi pertama manusia ditetapkan, dan manusia telah mengakui bahawa Allah SWT adalah Tuhan dan manusia adalah hamba.


Sebagai "blueprint" perjanjian manusia dengan Allah SWT sewaktu di alam roh. (surah al-'Araff:172)


Sebagai pelaku pembangunan, di sinilah peranan manusia sebagai hamba dan khalifah diuji. Dalam menghadapi kehidupan di dunia, manusia dikurniakan rohul-tamayyiz yang mana apabila manusia berfikir, ia dikenali sebagai akal, apabila berperasaan dipanggil qalbu dan apabila berkeinginan dan berkehendak dikenali sebagai nafsu. Nafsu manusia dapat dikawal apabila tahap iman seseorang itu berada di tahap nafsu mutmainnah dan ke atas daripada terlibat dengan perbuatan-perbuatan mazmumah untuk menjadi hamba Allah SWT . 

Iman seseorang dapat dipertingkatkan dengan melakukan ibadah-ibadah asas yang didasari oleh rukun Islam dan rukun iman, amalan-amalan utama seperti berwirid, berzikir, bertasbih dan  melakukan perkara-perkara sunat yang digalakkan dalam Islam. Apabila manusia melakukan perkara-perkara tersebut, hubungan mereka dengan Allah SWT dapat diperkemaskan dan pembangunan spiritual mereka bertambah kuat. Apabila ibadah-ibadah asas menjadi darah daging, maka ibadah umum yang bersifat fardhu kifayah seperti perundangan, kedoktoran, politik, ekomoni, pembanguan, sosial dan lain-lain dapat dijalankan dengan lebih baik dan sebagai natijah, tertegaklah pembangunan material. Gabungan ibadah asas dan ibadah umum membawa kepada keseimbangan pembangunan rohani manusia dan  pembangunan material.

Dalam pembangunan tamadun, tidak dapat dinafikan sumber alam adalah perkara penting untuk memastikan kelangsungan kehidupan manusia di dunia. Apabila berbincang mengenai sumber alam, skopnya meliputi hasil bumi seperti kayu-kayan,emas, besi logam, minyak, gas dan sebagainya yang menjadi peralatan-peralatan pembangunan yang cukup penting. Namun, dalam pembangunan berteraskan Islam melihat sumber alam ini adalah milik mutlak Allah SWT melalui surah al-Syura ayat 12.


 Keterbatasan sumber alam tidak menjadi masalah utama jika manusia memahami kalam Allah SWT kerana dalam Islam, sumber alam menjadi perkara yang tidak terhad dengan empat faktor ini iaitu, memahami konsep rezeki, kaedah pengagihan semula sumber melalui zakat untuk menyucikan harta, konsep baraqah yang melahirkan sifat qanaah dalam jiwa manusia dan kaedah penggunaan sumber alam.

Apabila prinsip-prinsip ini dilaksanakan oleh manusia, maka matlamat akhir dapat dicapai iaitu memperolehi keredhaan Allah SWT. Apa yang penting bagi manusia di dunia ini adalah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang telah dijanjikannya dengan Allah sewaktu alam roh. Alam kehidupun menjadi tempat manusia mengotakan janji. Jika janji tersebut dapat dipenuhi dengan redha Allah SWT, maka Allah juga menjanjikan balasan yang baik kepada hambaNya di akhirat kelak iaitu syurga, tempat yang abadi.


Seperti yang dibincangkan, didapati, manusia adalah merupakan entiti paling penting dalam menggerakkan pembangunan berteraskan Islam yang meliputi hubungan dengan Penciptanya Yakni Allah SWT dan hubungan sesama makhluk iaitu manusia dan alam.

4 ulasan:

  1. assalam, boleh beri komen sedikit berkenaan perlaksanaan PBI dlm masyarakat majmuk seperti di malaysia.

    BalasPadam
  2. Wsalam wrt.

    Pada pendapat saya, perlaksanaan PBI dalam masyarakat majmuk di Malaysia boleh dilaksanakan. Namun perancangan dalam pelaksanaan PBI ini perlulah dirancang dengan teliti dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat agama lain agar tidak berlaku perselisihan pendapat. Adat dan budaya setempat juga perlu di ambil kira agar bersesuai dengan keadaan masa. Walaubagaimana pun, pelan perlaksanaan ini harus melibatkan individu yang faham dan arif tentang agama dan pengurusan pembangunan agar tidak berlaku salah faham yang akhir menjadi fitnah kepada agama.

    wallahualam.

    BalasPadam