Sabtu, 11 April 2015

Tasawur insaniah


Sumber

Manusia ataupun dalam Bahasa Arab dikenali sebagai insan; disebut sebanyak 65 kali dan jamaknya, al-nas disebut sebanyak 258 kali di dalam al-Qur’ān. Insan adalah makhluk yang dikurniakan akal, roh dan jasad, merupakan sebaik-baik kejadian jika dibandingkan dengan malaikat mahupun haiwan.

Insan dibekalkan kepada mereka fitrah semula jadi yang cenderung untuk melakukan kerosakan di atas muka bumi. Insan juga dikurniakan akal dan melalui akal, mereka diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk memahami hakikat kebenaran. 

Walau bagaimana pun, peribadi mereka juga mempunyai potensi untuk bertarung sama ada memperolehi sifat baik dan jahat sebagai memenuhi matlamat mereka di dunia bergantung kepada cara mereka berfikir dan bertindak . Cara insan berfikir adalah lahir daripada akal dan hati. Maklumat yang dihasil oleh akal dan hati adalah perkara yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ianya hanya dapat difahami oleh insan itu sendiri. Maka, hubungan antara akal dan hati ini adalah sebagai penyebab di atas segala tindakan insan. Insaniah dapat digambarkan melalui proses pemikiran insan (dalaman) serta tindakannya (luaran).

Menurut Fadhlullah Jamil, insaniah adalah berperikemanusiaan iaitu memiliki nilai kemanusiaan. Apabila seseorang dikatakan berperikemanusiaan, maka sewajarnya individu tersebut memiliki sikap belas kasihan sesama makhluk, bertimbang rasa, mengenang budi, pemaaf, sabar dalam menghadapi ujian, beramanah, adil dan sedar akan tanggungjawabnya dan lain-lain. Secara ringkasnya, seseorang yang berperikemanusaan akan bertindak mengikut lunas-lunas akhlak yang mulia dan tidak tunduk kepada hawa nafsu. 

Apabila berbincang soal tasawur terhadap insan, kefahaman quranik perlu wujud supaya tidak berlaku kehilangan arah dalam membincangkan isu ini. Fitrah insan dicipta lengkap dengan pakej kelemahan dan kekurangan lain seperti mana terjemahan daripada surah al-Ma’arij ayat 19, 20 dan 21 bermaksud: 



 “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (kedekut). Apabila ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila beroleh kesenangan, ia sangat bakhil dan kedekut” 
(Al-Ma’arij, 70: 19- 21).  



Pandangan al-Attas mengenai konsep insan merumuskan bahawa jiwa insan dikategorikan kepada dua bahagian; yang pertama adalah jiwa rasional bagi insan yang menggunakan akal dan yang kedua pula adalah jiwa kebinatangan bagi insan yang membelakangi akal. Jika dilihat dari aspek ilmu mantik, insan juga diistilahkan kepada haiwan yang berkeupayaan untuk berkata-kata dan mempunyai keupayaan daya berfikir “al-insan hayawan al-Natiq”

Oleh yang demikian, insan berpotensi untuk menjadi individu yang baik dan individu yang batil. Al-Qaradawi berpandangan konsep dan tasawur tentang insan yang paling tepat adalah berdasarkan penjelasan Pencipta insan iaitu Allah SWT yang Maha Mencipta lagi Maha Mengetahui akan ciptaan-Nya. Allah SWT selaku Pencipta sudah pasti kenal sifat, ciri, kekuatan dan kelemahan makhluknya.

Oleh yang demikian, perkara yang perlu dititik berat apabila berbicara mengenai insan dalam pengurusan insaniah adalah dengan mengenali hakikat serta sifat insan dan insaniah itu sendiri agar fungsi insan tidak disalah gunakan. Dalam pengurusan insaniah, adalah lebih tepat jika gabungan akal, jasad dan tuntutan rohani insan dapat diaktifkan bersama. Akal untuk berfikir, jasad untuk bekerja dan tuntutan rohani untuk mengawal jiwa kebinatangan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan